Wednesday, August 26, 2009

penawar semula jadi...

Penawar semula jadi

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

ADA orang keberatan mengambil ubat apabila berdepan masalah kesihatan kerana bimbang kesan sampingannya. Meskipun kebanyakan ubat untuk ‘sakit biasa’ seperti pening, sakit kepala, demam, batuk dan sakit tekak adalah selamat, ada juga yang cuba mengelaknya.Dalam keadaan lain, ada yang jenuh makan ubat tetapi masalah kesihatan tidak berkurang. Mungkin ramai tidak sedar, kita sebenarnya dikelilingi pelbagai penawar semula jadi. Malah dalam peti sejuk kita pun ada bermacam penawar yang tidak diketahui, terutama air, buah-buahan dan sayur-sayuran.Air, buah-buahan dan sayur-sayuran adalah elemen penting yang dapat membersihkan badan dan darah serta menyingkir bahan buangan dengan lebih cepat. Jika air dan buah-buahan meningkatkan kuantiti air kencing, jus sayur pula dikatakan berfungsi memperbaiki badan dengan merangsang penghasilan sel baru bagi menggantikan sel yang musnah akibat penyakit.Jus buah dan sayur menjadi pelengkap satu sama lain. Masa terbaik untuk minum jus buah ialah pada sebelah pagi. Namun jika tidak sempat, ia boleh diminum pada bila-bila masa. Malah, ada pesakit kanser payudara mengamalkan minum banyak jus buah sepanjang tempoh rawatan untuk menyejukkan badan, sekali gus memberi tenaga dan mencegah kulit serta mulut menjadi terlalu kering akibat kesan kemoterapi.

Sayur dan buah adalah makanan paling menyihatkan. Ini sebabnya kita disaran mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur dan buah setiap hari, terutama sayur berdaun hijau. Ramai pakar perubatan sependapat, lebih berwarna-warni pilihan kita, lebih baik. Malangnya, kebanyakan kita terlebih masak sayur hingga lembik dan tidak menghabiskan kuahnya, sedangkan khasiat sayur-sayuran yang dimasak itu terkandung di dalam kuah.

Walaupun dalam artikel ini jus buah dan sayur lebih disasarkan sebagai penawar masalah kesihatan, ia juga baik jika terus dijadikan amalan. Antara masalah kesihatan yang boleh diatasi menggunakan bahan di rumah ialah:

· Sakit tekak dan batuk — Untuk membantu mengurangkan sakit tekak, elak makanan terlalu berperisa (berempah atau pedas). Berhenti merokok dan minum minuman beralkohol. Jauhi perokok kerana asap rokok boleh menyebabkan kerengsaan tekak.Ada pengamal perubatan berpendapat, air antara penawar terbaik. Minum banyak air, sama ada panas atau sejuk. Jika anda juga menghidap asma, elak minum minuman berais. Air memberi kelegaan pantas kepada tekak. Walaupun disaran minum air kosong, anda juga boleh mengambil jus buah-buahan, terutama disediakan sendiri di rumah yang kaya vitamin C.Pastikan anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari. Air membantu membersihkan badan dengan menyingkir bahan tidak diperlukan dengan lebih cepat melalui air kencing atau najis. Malah, ia memberi kelembapan secukupnya kepada tisu yang cepat menjadi kering seperti pada tekak, hidung dan kulit.Ada yang menyarankan kita mengamalkan tabiat ‘makan air’ kerana sayur dan buah mengandungi 80 peratus air. Jika di negara empat musim, penduduknya meningkatkan kelembapan di dalam bilik dengan menggunakan pengewap elektrik, terutama jika mereka sakit tekak pada musim sejuk. Namun kaedah ini tidak praktikal di negara kita yang sememangnya mempunyai iklim panas lembap sepanjang tahun. Bagaimanapun, jika anda sakit tekak pada musim kering, bolehlah letak semangkuk air di tepi katil.

· Keletihan — Makan kismis (yang dikeringkan tanpa bahan pengawet) atau kurma (kurma mungkin sukar diperoleh di luar Ramadan) ke mana saja. Kismis dan kurma membekalkan glukos yang menjadi tenaga segera yang boleh digunakan terus tanpa memerlukan banyak insulin. Ia membuat kita lebih bertenaga.Namun bagi pesakit kencing manis, berbincang dulu dengan doktor supaya pengambilan kismis dan kurma tidak mendatangkan masalah kepada kawalan paras gula dalam darah.

· Demam — Ketika demam, kebanyakan orang kurang selera makan. Kalau makan hanya sedikit, itupun sekadar mengisi perut sebelum mengambil ubat. Tidak salah jika sesekali anda hanya makan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari suntuk. Ini termasuk minum jus buah yang disediakan sendiri selain air kosong.Lebih baik jika sayur-sayuran dimakan mentah kerana banyak khasiat, terutama vitamin, akan musnah jika dimasak pada suhu tinggi. Malah, ada yang mengamalkan minum jus oren dan air suam setiap dua jam. Ia membekalkan tenaga, melawaskan pembuangan air kencing (menyingkir bahan toksik) dan meningkatkan ketahanan badan terhadap jangkitan.Untuk minum jus buah ada caranya. Ia tidak harus diteguk terus, sebaliknya dihirup perlahan-lahan (lebih baik menggunakan sudu). Ia bertujuan supaya jus buah bercampur dengan air liur. Enzim pencernaan dalam air liur mencernakan gula dalam jus buah dan apabila sampai ke perut, ia lebih mudah dicerna dan diserap khasiatnya.Apabila jus (buah atau sayur) digunakan untuk tujuan perubatan, sebaik-baiknya ia tidak dicampur dengan gula, pemanis atau perisa lain. Untuk memperbaiki rasa jus, campurkan sedikit perahan limau atau jus buah lain. Ia juga perlu ditapis tetapi jika anda bertambah baik, boleh minum jus buah bersama seratnya untuk melancarkan sistem pencernaan dan perkumuhan dalam usus.Sebaik demam kebah, makan tiga hidangan buah segar sehari sama ada epal, pir, oren, nanas, betik, tembikai, anggur atau lain-lain buah yang banyak air. Pada masa sama, terus minum banyak air suam atau panas.Jika suhu badan terlalu tinggi (39° Celsius), lap kepala dan seluruh badan badan (termasuk kaki dan tangan) dengan tuala basah yang direndam dalam air sejuk (suhu bilik) sekerap mungkin. Kaedah ini berguna untuk menurunkan suhu badan, terutama pada kanak-kanak.

· Sakit kepala — Antara cara mudah mengelak sakit kepala ialah mengamalkan pemakanan seimbang. Bagaimanapun jika anda sakit kepala, elak mengambil makanan berproses (termasuk gula dan makanan daripada tepung), kopi, teh, makanan ringan, daging merah dan kurangkan produk tenusu.Sebaliknya, lebihkan pengambilan sayur-sayuran (terutama sayur berdaun hijau), buah-buahan dan jus buah yang disediakan sendiri. Bahkan, ada yang mencadangkan supaya berpuasa beberapa hari sebulan, khususnya bagi individu yang kerap mengalami masalah migrain dan sakit kepala.Patuhi jadual makan. Walau sesibuk manapun, apabila tiba waktu makan, anda perlu makan sedikit. Ada kalanya sakit kepala disebabkan penurunan paras gula dalam darah. Jadi, amalan makan sedikit tetapi kerap memastikan paras gula dalam darah sentiasa terkawal.

· Cirit-birit — Seperkara penting yang perlu diingat jika mengalami cirit-birit ialah, elak makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dimasak. Namun pada masa sama, pesakit disaran mendapatkan banyak cecair (air masak, jus buah, sup atau buah-buahan) bagi menggantikan garam galian dan air yang hilang melalui najis. Untuk mengatasinya, minum sedikit teh pekat tetapi jika masalah berlanjutan, segera berjumpa doktor bagi mendapat rawatan sewajarnya.







No comments: