Mohd Nasir Saukani,(2004) ‘Bab 11: Sektor Pertanian dan Pembangunan,Teori Pertumbuhan dan Pembangunan Ekonomi, edisi terbaru,UKM Bangi, Selangor D.E. Malaysia,Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, hal.230 – 256.
Apa yang dapat saya ulaskan melalui bahan bacaan ini adalah berkaitan dengan sektor pertanian dan pembangunan,betapa pentingnya sektor pertanian dalam pembangunan ekonomi dan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor ini pada tahun-tahun yang akan datang. Sektor pertanian di Malaysia dijadikan sebagai asas perbincangan dalam melihat ukuran keperluan sektor ini untuk terus dipertahankan. Dalam menuju alaf baru, dunia sedang mengalami peningkatan penduduk dan kecanggihan dalam pelbagai aspek pembangunan ekonomi. Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjangka pertumbuhan penduduk akan terus meningkat kepada 9.1 bilion pada 2050 dan 11 bilion pada 2200. Wajarkah sektor ini dipinggirkan atau dipertingkatkan peranannya? Seperti yang kita tahu, fenomena kebuluran, kemarau dan kekurangan zat makanan yang dihadapi terutama di negara-negara Dunia Ketiga perlu diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya.Secara tradisi,sektor pertanian dianggap sebagai sektor yang pasif dan menyokong perkembangan sektor-sektor lain terutamanya sektor industri. Namun begitu, pertanian kini memerlukan dimensi baru kerana cara pertanian traditional sudah tidak sesuai lagi seiring dengan kemajuan yang telah kita hadapi.Sektor ini memerlukan strategi yang lebih moden dan komersial yang boleh meningkatkan produktiviti hasil pertanian.
Menurut penulis,peranan pertanian dalam pembangunan sering diperkatakan.Namun begitu,sejauh mana pentingnya sumbangan pertanian kepada pembangunan ekonomi secara keseluruhannya masih dipertikaikan.Menurut Mohd Syukri 1989,negara-negara maju sering dikaitkan dengan perindustrian, manakala negara-negara Dunia Ketiga pula dikaitkan dengan pertanian.Sebenarnya terdapat salingkaitan antara kedua-dua sektor ini. Pertanian telah memberi sumbangan yang besar terutama dalam menyemarakkan pertumbuhan ekonomi.Kajian menunjukkan hubungan diantara kedua-dua sektor ini meningkat sejajar dengan pertumbuhan ekonomi. Peningkatan dalam pengeluaran pertanian diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor-sektor lain,tetapi pada masa yang sama sektor pertanian memerlukan sumber-sumber tertentu dari sektor-sektor lain untuk meningkatkan pertumbuhannya.Antara sumbangan sektor pertanian kepada sektor-sektor lain adalah seperti meningkatkan keluaran pertanian dan produk pertanian yang lain untuk kegunaan domestik dan untuk dieksport,membekalkan penawaran buruh tambahan kepada sektor-sektor bukan pertanian,menghasilkan aliran modal bersih untuk pelaburan di sektor lain dan meningkatkan permintaan pengguna di sektor pertanian untuk barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sektor-sektor lain.
Terdapat empat sumbangan penting sektor pertanian terhadap pertumbuhan ekonomi negara iaitu pertanian sebagai sumber makanan kepada manusia iaitu pertanian membekalkan makanan berkualiti kepada penduduk di sektor bukan pertanian,penjana kepada pembangunan sektor pembuatan yang berasaskan kayu,kelapa sawit dan getah.Yang ketiga memberi sumbangan modal dan buruh.Ini dicapai melalui dasar pertukaran tidak seimbang serta dasar fiskal iaitu modal disalurkan daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian.Yang seterusnya sumbangan tukaran asing.Ini dilakukan sama ada dengan menambahkan eksport barang utama ke pasaran antarabangsa atau dengan mengeluarkan barang gantian import.Saling kaitan antara kedua sektor ini telah dinyatakan oleh beberapa ahli ekonomi.Antara hujah yang diperkatakan oleh ahli ekonomi ini ialah kekurangan bahan makanan boleh membantutkan pertumbuhan sektor bukan pertanian.
Revolusi hijau telah diperkenalkan dan menyebabkan petani-petani miskin berjaya meningkatkan output mereka selepas pengenalan benih-benih baru menerusi penyelidikan dan pembangunan.Selepas 1960 an,kadar pertumbuhan sektor pertanian di negara-negara kurang membangun mula menunjukkan peningkatan.Ini adalah kesan daripada tiga faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan seperti penggunaan benih hasil tinggi,sistem pengairan tanah pertanian yang semakin meningkat dan baja tiruan.Perubahan yang berlaku dalam sektor pertanian pada masa kini mempunyai banyak kelainan berbanding perubahan yang berlaku keatas sektor ini pada masa lalu.Peningkatan penduduk dan pendapatan akan meyebabkan permintaan yang tinggi terhadap hasil-hasil pertanian khususnya makanan terutama di kawasan Asia Timur.Namun begitu terdapat kekangan yang masih mewarnai usaha memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat ini. Kegunaan tanah untuk pembandaran,perumahan dan rekreasi yang semakin meningkat sejajar dengan peningkatan penduduk menjejaskan tanah untuk kegiatan pertanian.Sektor pertanian dalam era ke-21 bukan sekadar mengeluarkan bahan makanan tetapi juga bahan-bahan untuk kegunaan industri,kimia,perubatan dan farmaseutikal.Perindustrian pertanian akan dapat menstabilkan pendapatan petani dan mewujudkan peluang pekerjaan di sektor pertanian yang tidak banyak berbeza daripada yang terdapat di bandar.Pertanian era kini turut mempunyai nilai komersial dari segi pelancongan.Kewujudan banyak kawasan pelancongan yang dikenali sebagai “Agro-Tourism” membayangkan kemampuan sektor ini untuk terus memberikan pulangan menarik kepada ekonomi negara.
Kerancakan pembangunan ekonomi Malaysia yang kini berasaskan sektor pembuatan dan perindustrian,seolah-olah telah mengetepikan peranan dan sumbangan sektor pertanian.Namun demikian hakikat bahawa makanan diperlukan untuk meneruskan kehidupan dan bahan mentah diperlukan untuk terus menggerakkan sektor industri jelas menunjukkan bahawa walau sejauh mana pesatnya pembangunan ekonomi berorientasi perindustrian,peranan pertanian tidak boleh diabai sama sekali.Malaysia masih bergantung pada sebahagian utama import bahan makanan walaupun barang yang sama dikeluarkan di negara ini.Tetapi disebabkan pengeluarannya yang tidak mampu menampung permintaan kerana faktor tanah pertanian yang semakin kurang(dari segi kesesuaian),kekurangan tenaga kerja,tahap harga sesetengah komoditi yang rendah,tahap pelaburan swasta yang masih kecil dan penggunaan teknologi yang terhad,Malaysia terpaksa terus bergantung pada bahan makanan yang diimport.
Berdasarkan laporan Rancangan Malaysia yang ke-tujuh(RMK-7),pada 1995,negara mengimport sejumlah RM4.48 bilion makanan dan mengeksport RM6.68 bilion yang bererti import bersih makanan ialah RM2.2 bilion.Import bersih makanan ini semakin meningkat berbanding import bersih bernilai RM0.56 juta pada 1990.Menurut penulis,kemerosotan sumbangan sektor pertanian terutama pada tahun-tahun 1970 an dan awal 1980 an telah membawa kepada pembentukan Dasar Pertanian Negara (DPN) pada 1984.DPN dilancarkan pada 12 Januari 1984 iaitu pada masa sektor pertanian masih dianggap penyumbang utama ekonomi,oleh itu kepentingan sektor ini perlu diperkukuhkan.DPN melaksana dan memperkukuh hampir semua strategi pertanian yang ada sebelumnya.Objektif DPN adalah untuk memaksimumkan pendapatan dari sektor pertanian menerusi penggunaan yang lebih cekap sumber-sumber dan meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi secara keseluruhannya.Ini dilakukan menerusi penyusunan semula(seperti penyusunan semula pekebun kecil dan pembukaan tanah baru),penyerapan teknologi,sekuriti makanan,pembekalan subsidi,intensif harga dan pengembangan industri asas tani.Apa yang nyata,produktiviti sektor pertanian mesti dipertingkatkan dan teknologi pertanian yang lebih baru dan terkini perlu dikenal pasti dan dicuba dalam usaha mengubah pertanian traditional kepada yang lebih moden dan dinamik.Apabila sesebuah negara bergerak maju kehadapan,teknologi yang baru dan lebih baik adalah perlu secara berterusan diserap oleh sektor pertanian,kerana tanpanya masalah makanan tidak akan dapat diselesaikan.
Pada pandangan saya,saya amat bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh penulis bahawa peningkatan dalam pengeluaran pertanian amat diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor-sektor lain,tetapi saya ingin menambah pendapat bahawa pada masa yang sama sektor pertanian memerlukan sumber-sumber tertentu dari sektor-sektor lain untuk meningkatkan pertumbuhannya.Tambahan pula sektor ini seakan-akan dipinggirkan berbanding dengan sektor lain ekoran pembangunan ekonomi yang sedang dialami.Sektor ini juga kekurangan tenaga mahir untuk membangunkannya ekoran daripada golongan belia kini tidak berminat untuk menceburi bidang ini kerana menganggap bahawa sektor ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan mereka.Sedangkan semua ini boleh diatasi sekiranya ada rasa tanggungjawab bagi setiap individu dan kesungguhan untuk melakukan sesuatu.Tambahan pula,sektor ini adalah terlalu penting bagi kita kerana sektor ini merupakan sumber utama pengeluar makanan kita.Misalnya,berasaskan trend pengeluaran dan penggunaan makanan,pada tahun 1994,Malaysia terpaksa mengimport sebanyak RM6.7 bilion barangan makanan,dibandingkan pada tahun 1990 di mana Malaysia hanya mengimport sebanyak RM1.2 bilion barangan makanan.Pertambahan yang mendadak sebanyak 570 peratus dalam jangka masa 4 tahun, dan menggambarkan betapa perlunya sektor ini diperkukuhkan.Langkah-langkah tertentu perlu diambil supaya kita tidak terus bergantung kepada sumber makanan daripada luar negara yang berkemungkinan mempunyai implikasi kepada keselamatan negara dan taraf kesihatan rakyat.(Tengku Mahmud Mansur,1998:25)
Selain itu,penekanan yang diberi oleh kerajaan khususnya ke atas pembangunan sektor-sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan adalah bertujuan membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat dalam tempoh masa yang singkat.Ini bukan bermakna sektor pertanian tidak kurang penting,malah ia adalah cabaran kepada sektor untuk terus bersama-sama menyumbang ke arah pencapaian wawasan negara.Sejajar dengan ini,Dasar Pertanian Negara (DPN) telah menggariskan beberapa teras yang bertujuan,di antara lain untuk menjamin pembangunan seimbang antara sektor pertanian dengan sektor ekonomi yang lain,mempertingkatkan produktiviti pertanian,memperluaskan pengeluaran hasil pertanian dan memastikan pembangunan yang berdaya tahan berlandaskan pasaran dan penyertaan sektor swasta.Selain itu juga, saya tertarik dengan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Insentif untuk Projek Pengeluaran Makanan.Kerajaan telah menyediakan insentif istimewa bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan intensif khas selain daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, intensif untuk menggalakkan eksport dan sebagainya.Kesannya,usaha ini dapat menggalakkan syarikat-syarikat bagi menjana pertumbuhan ekonomi bagi sektor pertanian disamping dapat meningkatkan pengeluaran makanan.(Kertas pembentangan,2004)
Tambahan pula,seperti yang kita tahu,pada masa-masa yang akan datang,sektor pertanian memerlukan tenaga buruh yang terlatih dalam bidang pertanian dan juga bidang-bidang lain seperti pengurusan,perniagaan dan pemasaran.Sistem pendidikan yang ada sekarang perlu digubal untuk mengeluarkan tenaga profesional.Hal ini kerana,negara tidak boleh lagi bergantung kepada golongan petani,penternak dan nelayan yang ada kerana peningkatan umur mereka.Misalnya, Pusat Latihan Pertanian Negara telah dipertanggungjawabkan bagi merancang, menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain itu,sistem maklumat yang canggih ,tersusun dan rapi harus juga disediakan bagi membantu masyarakat petani masa depan melengkapkan diri mereka dengan maklumat yang tepat dan cepat untuk membuat keputusan dengan cepat dan baik.
Pendapat saya yang seterusnya dan yang terakhir adalah berkenaan dengan penekanan terhadap konsep pertanian lestari iaitu pertanian yang berkekalan.Seperti yang kita tahu, pertanian lestari adalah satu sistem pertanian yang mampu untuk terus memenuhi permintaan bahan pertanian tanpa batasan masa disamping terus dapat mengekal atau memperbaiki mutu alam sekitar.Antara unsur penting dalam pembangunan pertanian lestari ialah mempertahankan dan mempertingkatkan tahap produktiviti, penjagaan dan pengurusan sumber alam dengan berkesan dan berterusan memastikan kerosakan sumber di tahap yang minimum,mewujudkan pulangan ekonomi yang memuaskan serta pengeluaran secara optimum bahan makanan untuk memenuhi keperluan makanan (Chamhuri Siwar,1998:451)
Kesimpulannya,pembangunan adalah salah satu proses yang dinamik dan berterusan.Sejajar dengan itu,sektor pertanian perlu berubah mengikut masa dan perlu dipertahankan peranannya dalam proses pembangunan ekonomi sesebuah negara.